Mahkamah tangguh keputusan peniaga terlibat kes langgar polis - Utusan Malaysia

Mahkamah tangguh keputusan peniaga terlibat kes langgar polis

KULDEEP Singh Gill (dua kanan) berbincang dengan keluarga Muhammad Khairul Syafiq Ahmad selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Kulim. -UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Mahkamah Majistret, di sini hari ini menangguhkan keputusan penghakiman terhadap seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian melanggar seorang anggota polis sehingga koma, dua tahun lalu.

Ini berikutan hujahan pembelaan bahawa terdapat pertindihan pertuduhan terhadap tertuduh, Chua Kai Choon, 45.

Peguam mewakili tertuduh, Chong Seng Ming berkata, beliau telah meminta penjelasan daripada pihak pendakwaan walaupun anak guamnya telah mengaku bersalah atas empat tuduhan berasingan semasa perbicaraan 27 Mac lalu.

“Tertuduh telah mengaku bersalah atas semua tuduhan tetapi setelah mengkaji tuduhan-tuduhan itu, didapati terdapat pertindihan. Dia dituduh memandu di bawah pengaruh dadah dan arak tetapi pada masa sama anak guam saya turut dituduh memandu secara melulu.

“Dalam undang-undang, seseorang tidak boleh dihukum dua kali atas kesalahan yang sama. Itulah sebabnya saya minta pihak pendakwaan jelaskan sama ada tuduhan-tuduhan itu sah di sisi undang-undang atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas prosiding, hari ini.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nursalwati Wan Kamarul Arrifin memberitahu mahkamah bahawa kertas siasatan berada di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret Jamaliah Abd Manap kemudian menetapkan 6 Jun depan sebagai tarikh sebutan.

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi, 16 Julai 2022, Kai Choon yang memandu trak pikap dipercayai menghimpit Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan mengalami cedera parah berdekatan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jalan Kulim-Serdang.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa yang sedang bertugas mengejar suspek yang mengelak pemeriksaan.

Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan, keluarga mangsa menuntut penjelasan AGC berhubung dakwaan kes di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dikenakan kepada tertuduh sebelum ini digugurkan.

Abang mangsa, Hanafi Qasim, 38, mendakwa, pengguguran itu hanya diketahui melalui peguam pemerhati yang mengikuti kes adiknya selain mereka juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak.

Dalam perkembangan sama, peguam Kuldeep Singh Gill yang mewakili keluarga mangsa memaklumkan dia sudah mengutus surat kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh pada Selasa minggu lalu.

“Keluarga Muhamad Khairul Syafiq telah merayu Peguam Negara meneliti semula keputusan Mahkamah Sesyen Kulim pada 5 Disember tahun lalu yang menggugurkan pertuduhan kes cubaan bunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan sebagai kes yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap tertuduh.

“Bapanya juga ada menulis surat kepada AGC pada 30 Mac lalu bagi mendapatkan penjelasan  terhadap perkara itu tetapi mereka kecewa kerana tiada sebarang respon sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, kes itu amat serius kerana membabitkan anggota polis yang mengalami kecederaan serius dan keluarga mangsa mengharapkan kes di bawah Seksyen 307 dikenakan semula terhadap tertuduh. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN