LTSIP sedia menerima penerbangan antarabangsa

LTSIP sedia menerima penerbangan antarabangsa

TERMINAL baharu fasa 1 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan beroperasi secara rasmi semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa sudah bersedia untuk menerima penerbangan masuk antarabangsa ke Kelantan hujung tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Kamaruzzaman Razali berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kemudahan lengkap yang terdapat pada terminal baharu fasa 1 yang mula bero­perasi secara rasmi semalam.

“Secara asasnya kita sudah bersedia menerima penerba­ngan antarabangsa, cuma me­nunggu peluang mengadakan perbincangan lanjut dengan pengendali perkhidmatan.

“Perbincangan itu sudah ada syarikat pengendali perkhidmatan penerbangan antarabangsa dan mereka berminat untuk datang ke Kota Bharu,” katanya kepada pemberita semasa me­ninjau hari pertama operasi terminal baharu fasa 1 LTSIP Pengkalan Chepa semalam.

Kamaruzzaman memberi­tahu, selain itu pihaknya sedia berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kerajaan Negeri dalam mengendalikan penerbangan antarabangsa.

Katanya, fasa kedua pembinaan LTSIP akan bermula se­minggu selepas operasi terminal baharu fasa pertama berjalan.

“Untuk terminal fasa 1, kita mampu menampung kehadiran penumpang sekitar dua juta setahun. Jadi tiada masalah untuk menerima jumlah penumpang.

“Bila siap nanti kita mampu tampung 4 juta setahun. Insya-Allah, projek ini akan siap sepenuhnya hujung 2026 atau awal 2027 untuk fasa 2,” ujarnya.

Kamaruzzaman berkata, sekiranya LSTIP dinaik taraf sebagai antarabangsa ia akan mengembangkan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.

Katanya, peningkatan itu menerusi kedatangan lebih ramai pelancong antarabangsa.

Media sebelum ini melaporkan, projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pembesaran terminal, balai ketibaan dan pelepasan sedia ada yang kini hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun.

Selain itu katanya, penambahbaikan turut dilakukan pada infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, termasuk menambah bilangan tempat letak kenderaan kepada 1,300 petak, berbanding sekarang hanya terhad 300 petak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengguna begitu teruja sehingga ada dalam kalangan mereka me­rakam video dan mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN