RANTAU PANJANG: Insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Golok, Thailand, Isnin lalu tidak menghalang rakyat Malaysia untuk terus masuk dan bercuti di negara tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang di sini mendapati, berlaku kesesakan hampir satu kilometer berlaku kira-kira pukul 8 pagi apabila kenderaan dilihat berpusu-pusu masuk ke sana.
Seorang pelancong, Remy, 22, berkata, dia bersama rakan-rakannya berkonvoi dengan motosikal Honda EX5 untuk bercuti ke Hatyai, Thailand.
Katanya, dia mengambil peluang cuti Hari Pekerja untuk ke Hatyai kerana sudah membuat persiapan sejak sebulan lalu.
“Kami yakin keadaan selamat untuk masuk ke Thailand kerana insiden itu berlaku di Golok bukannya di Hatyai,” katanya ketika ditemui di ICQS Rantau Panjang di sini semalam.
Seorang lagi pelancong, Wan Rapeah Wan Yusof, 43, berkata, dia tetap masuk ke Thailand kerana yakin keselamatan dan kawalan pihak berkuasa negara berkenaan.
“Ramai yang masuk melancong ke Thailand hari ini (semalam) dan saya yakin keselamatan terjaga di sana.
“Saya mahu ke Narathiwat untuk menziarahi saudara di sana. Selepas selesai urusan, saya akan pulang pada hari yang sama,” ujarnya.
Seorang pengusaha motosikal tambang, Daud Leman, 60, berkata, pintu sempadan di ICQS Rantau Panjang meriah seperti biasa setiap kali cuti umum.
“Berdasarkan pengalaman saya, Thailand selamat untuk dikunjungi,” katanya. – UTUSAN










