SHAH ALAM: Polis mematahkan cubaan pengedaran dadah jenis kokain apabila menahan seorang lelaki warga asing yang menelan 95 ketul kapsul mengandungi bahan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat lalu.
Suspek berusia 20 tahun bekerja sebagai mekanik itu dipercayai datang dari Peru berdasarkan maklumat pada pasport dan transit penerbangannya di Dubai sebelum tiba di Malaysia pada pukul 8.30 pagi.
Bagaimanapun dia ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA sebaik sahaja berada di balai ketibaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan suspek dibuat sebaik sahaja dia berada di balai ketibaan selepas polis menerima perkongsian maklumat daripada Interpol.
Menurutnya, rampasan melibatkan kokain adalah pertama di Selangor dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Suspek dalam keadaan mencurigakan dan ketika melalui imbasan x-ray, pegawai perubatan memberitahu terdapat imej mencurigakan di dalam perut suspek.
“Suspek kemudian ditahan di hospital dan menjalani proses pengeluaran dadah melalui ubat yang diberikan oleh pegawai perubatan untuk mengeluarkan kapsul-kapsul tersebut menerusi dubur. Suspek juga dipantau oleh polis.
“Hasil pemantauan selama tiga hari, suspek mengeluarkan sejumlah 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan berisi bahan disyaki dadah jenis kokain dengan anggaran berat 1.152 kilogram (kg),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, nilai rampasan bagi dadah tersebut adalah berjumlah RM230,400 dan dipercayai untuk pasaran luar negara.
Jelas Hussein, suspek tersebut dipercayai menjadi ‘keldai dadah’ yang menerima arahan daripada kartel secara berperingkat dan hasil soal siasat, dia dipercayai mahu menginap dekat sebuah hotel berhampiran KLIA sementara menunggu arahan seterusnya.
“Kita kurang mendapat maklumat kerana dia ada masalah bahasa, kita percaya dia diarahkan oleh kartel dadah untuk membawa dadah tersebut dengan cara menelan dan apabila kita keluarkan dadah dari badan,
“Kemudian hasil soal siasat dia difahamkan menunggu arahan daripada kartel dadah sama ada untuk diserahkan kepada orang lain atau transit ke negara lain.
“Begitu cara pengedaran dadah yang mana keldai-keldai dadah menerima arahan dari semasa ke semasa, bukan arahan penuh dari ‘A’ sampai ‘Z’ sebaliknya one transition to another transition,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya lagi, polis masih menyiasat sama ada dadah terbabit untuk pasaran Kuala Lumpur atau transit ke negara lain.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan. – UTUSAN










