GEORGE TOWN : Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki tempatan telah ditahan kerana cuba merampas senjata api daripada seorang anggota polis yang bertugas serta menyerangnya di Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, lelaki berusia 35 tahun itu telah mendatangi anggota terbabit semasa berada di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, suspek telah mengarahkan anggota berkenaan untuk membuka pintu pagar sambil memaki-hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Anggota polis itu bagaimanapun telah memberi amaran dan menasihati suspek agar beredar meninggalkan kawasan balai, namun, suspek tidak menghiraukan nasihat dan amaran tersebut.
“Sebaliknya, suspek terus menghampiri anggota yang sedang bertugas itu serta cuba merampas senjata api jenis HKMP5 yang disandang oleh anggota tersebut, tetapi, tindakan terbabit berjaya dihalang,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, suspek kemudian mengambil topi keledar dan cuba menyerang anggota bertugas sehingga menyebabkan berlakunya pergelutan semasa proses tangkapan.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah manakala ujian awal air kencing suspek pula mendapati lelaki itu bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan 90 Akta Polis 1967 dan suspek ditahan reman selama empat hari iaitu sehingga 22 Mei (Rabu ini) untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang lelaki yang menaiki motosikal menceroboh masuk ke dalam kawasan balai polis tersebut dalam keadaan mabuk dan cuba merampas senjata api daripada anggota polis yang sedang bertugas.-UTUSAN










