Lebih 80,000 rayu tunai haji

Lebih 80,000 rayu tunai haji

ANTARA petugas haji wakil media ketika Majlis Pelepasan Petugas Haji di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tabung Haji (TH) menerima lebih 80,000 rayuan daripada pendaftar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan jumlah tersebut dijangka bertambah menjelang tarikh akhir rayuan pada 8 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, walaupun tarikh tutup permohonan rayuan ialah akhir Syawal, tetapi kemungkinan kekosongan berlaku secara tiba-tiba dalam kalangan bakal jemaah terpilih.

Beliau berkata, proses rayuan kali ini dibuka pada 26 Januari lalu dan setakat ini dianggarkan lebih 80,000 orang menyerahkan permohonan mereka.

“Pihak TH akan memberikan keutamaan rayuan dalam kalangan mahram untuk mengiringi pasangan mereka yang berjaya terpilih secara kuota.

“Namun, masih lagi bergantung kepada kekosongan tempat jika ada jemaah sedia ada yang tiba-tiba menolak atas pelbagai faktor seperti kemalangan atau sakit,” katanya selepas menyantuni seramai 150 petugas operasi haji kumpulan kedua yang berlepas ke Madinah semalam di Pusat Konvensyen Movenpick TH Sepang, di sini.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 600 petugas Tanah Suci setelah kumpulan pertama sudah pun bertolak ke Jeddah pada 30 April lalu yang terdiri seramai 16 petugas.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas pada 9 Mei nanti manakala bagi trip terakhir dijangka 9 Jun depan melibatkan sejumlah 100 penerbangan sewa khas.

Sementara itu, Syed Salleh hairan dengan satu dakwaan kononnya sudah terdapat penerbangan haji berlepas pada semalam seperti tular di media sosial.

“Saya tidak pasti jika ia Visa Furada sedangkan permit khas itu hanya diberi kerajaan Arab Saudi dua minggu selepas penerbangan pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, visa istimewa tersebut turut ditawarkan pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada individu terpilih seluruh dunia, manakala bilangannya memang terhad dan belum lagi dikeluarkan.

“Saya mengingatkan umat Islam agar tidak terpedaya serta hanya menggunakan saluran yang betul dan memastikan permit kemasukan diterima mereka ialah Visa Haji yang sahih dan bukan Visa Umrah, Visa Pelancongan atau Visa Pekerja,” katanya.

Ditanya mengenai laporan banjir kilat di Madinah kelmarin, Syed Saleh berkata, situasi semasa adalah terkawal dengan keadaan paras air sudah kembali reda seperti kebiasaan memandangkan pihaknya ada program pengurusan bencana yang didokumenkan serta dipraktikkan dalam simulasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN