Laporan penuh nahas heli TLDM diumum hari ini

Laporan penuh nahas heli TLDM diumum hari ini

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu di Lumut, Perak akan dikeluarkan hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, jemaah menteri semalam dimaklumkan mengenai status laporan penuh nahas itu.

Menurutnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah memaklumkan kepada jemaah menteri status terkini laporan penuh itu.

“Beliau (Menteri Pertahanan) memaklumkan laporan itu telah siap dan akan diterbitkan esok (hari ini). Kepada rakan media, boleh nantikan laporan penuh siasatan nahas itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sebelum ini, lembaga siasatan ketika mendedahkan laporan awal nahas pada 9 Mei lalu memaklumkan, ada lima fakta diumumkan berhubung tragedi itu.

Laporan awal oleh TLDM itu menyatakan, kesemua kru terbabit dalam insiden berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Selain itu, dua helikopter terbabit disahkan berada dalam keadaan selamat untuk terbang semasa hari kejadian, malah kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin ditetapkan oleh pengeluar peralatan asal (OEM).

Dalam isu berasingan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beberapa pindaan undang-undang terhadap akta sedia ada perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kepada jemaah menteri, semalam.

Beliau memberitahu, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan pandangan dari aspek perundangan mengenai perkara sama.

“Parallel Pathway merujuk kepada isu melibatkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.

Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi Mara (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardio­torasik, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN