MARAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta negeri-negeri lain mencontohi kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menjaga hubungan dan memberikan kerjasama baik kepada kerajaan Pusat.
Perdana Menteri berkata, apa dilakukan oleh Wan Rosdy perlu dipelajari oleh negeri-negeri lain.
“Hendak pilih Menteri Besar macam inilah, senang kita kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini kena hubungannya baik. Jadi senang dia minta apa-apa saya boleh pertimbang.
“Ini contoh Pahang ini patut negeri-negeri lain belajar, yang faham, faham, yang tak faham sudah. Hormat, kerjasama baik, ada setuju, ada tidak setuju. Sentiasa berunding,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini hari ini.
Anwar dalam ucapannya turut memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dapat berkumpul di Stadium Tun Abdul Razak melakar beberapa sejarah.
“Pertama, anak bangsa yang peka tentang sejarah akan kenang budi pemimpin-pemimpin ulung yang berjasa dan berkhidmat. Dan saya syukur alhamdulillah, kerana bersama-sama di Jengka, Dewan Tun Abdul Razak, pengasas, pejuang bangsa dan negara yang gagah, bukan sahaja mengasaskan Felda, tapi mengangkat martabat rakyat terutamanya Melayu Bumiputera.
“Saya percaya sambutan ini sama hebatnya. Saya mengarahkan Felda supaya tidak meneruskan sambutan besar-besaran di Kuala Lumpur seperti biasa, harus pindah ke lapangan,” katanya.
Beliau berkata, di Felda pada ketika ini sudah ada dewan, kawasan dan infrastruktur yang baik.
“Oleh itu, mulai tahun ini kita adakan di Pahang, kerana sesuai sebagai tuan rumah, kawasan yang telah paling berjasa untuk memberikan ruang, bukan saya kepada anak-anak Pahang, tapi saya ingat, saya beritahu tadi Datuk Seri Zahid termasuk saudara mara saya, termasuk dari Kampung Cherok Tok Kun pun diberi peluang dalam keadaan negara kita baru merangkak mencapai kemerdekaan dan memberi ruang kepada anak-anak bangsa yang kelaparan tanah untuk dibangunkan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, sambutan di luar Kuala Lumpur juga menjimatkan kos dan jauh lebih murah jika diadakan di ibu negara.
“Jadi saya kata, sambutan ini boleh dibuat di luar, meriah begini dan orang kenal tempat kita dan keluarga kita rakan-rakan boleh berniaga, manfaatkan kehadiran kita dan ada rakan-rakan dari Kuala Lumpur yang tak pernah menjelajah ke kawasan Felda akan dapat bersama.
“Selain itu, kosnya jauh lebih rendah. Saya minta disenaraikan beza kos adakan Hari Peneroka di sini dengan di Ibu Kota, jauh lebih murah. Kita dapat menyelamatkan dana dan dana itu akan dipulangkan kepada peneroka. Itu pendirian kita.
“Jadi kalau setuju, kita sambut di luar. Tahun depan kita boleh tukar. Johor ke, Negeri Sembilan ke, Perak ke. Boleh?,” katanya. – UTUSAN










