PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sekiranya sekolah di kawasan cuaca panas ditutup.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, meskipun sekolah ditutup akibat cuaca panas melampau, proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh terhenti.
“NUTP menyokong langkah untuk menutup sekolah sekiranya situasinya memberikan kesan buruk kepada kesihatan murid.
“Bagaimanapun, NUTP yakin pengalaman-pengalaman lalu akan membolehkan PdPR dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, dalam hal ini, semua pihak perlu bertenang dan bersedia untuk mematuhi arahan yang diputuskan Kementerian Kesihatan (KKM).
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sekolah akan ditutup jika terdapat keperluan susulan cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Sementara itu, pakar pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, silibus subjek perlu dijajarkan supaya tidak mengganggu sesi pembelajaran murid jika sekolah ditutup.
“Komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa sangat penting dalam membuat keputusan berkaitan isu cuaca panas dan penutupan sekolah.
“Keputusan menutup sekolah bergantung kepada lokasi dan keadaan prasarana sekolah. Jika sekolah berada dalam zon titik panas dan cuaca panas melebihi suhu yang telah ditetapkan, sekolah boleh ditutup atas arahan guru besar atau pengetua,” ujarnya. – UTUSAN










