Daripada sekadar mengisi masa lapang di rumah, hobi menghasilkan bantal berbentuk kucing kini menjadi ruang untuk Nor Ain Atiqah Abu Hasan, 30, menzahirkan kreativiti, mencari ketenangan serta menjana pendapatan buat keluarganya.
Apa yang pada awalnya dilakukan suka-suka pada tahun 2022 kini berkembang menjadi sebuah perniagaan jahitan kraf yang diusahakan dari rumah selepas hasil kerjanya mendapat sambutan menggalakkan.
Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu merupakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kini merupakan suri rumah sepenuh masa, selain mengusahakan perniagaan jahitan kraf.
Selepas berkahwin, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan pada masa yang sama mula mencari aktiviti yang dapat mengisi masa lapang.
Pencarian itu membawanya kembali kepada dunia jahitan dan kraftangan, minat yang telah dipupuk sejak di bangku sekolah.
“Saya memang suka menjahit, tetapi minat saya lebih kepada jahitan kraf dan perkara yang melibatkan kreativiti sahaja. Kalau jahitan pakaian, saya kurang berminat dan kurang pandai,” katanya kepada Seri.
Menurut Nor Ain Atiqah, sewaktu di alam persekolahan, dia gemar menghasilkan pelbagai kraf jahitan seperti rantai kunci, penanda buku dan pelbagai hasil kreatif lain.

Namun, minat tersebut terhenti seketika apabila dia mula melangkah ke alam pekerjaan kerana kesibukan rutin harian menyebabkan dia tidak lagi mempunyai masa untuk berkarya.
Selepas bergelar suri rumah sepenuh masa, dia kembali mencari aktiviti yang dapat menghidupkan semula minatnya terhadap dunia seni dan jahitan.
Dari situlah dia mula mencari pelbagai idea untuk menghasilkan jahitan yang unik dan comel sebelum tercetusnya idea untuk menghasilkan bantal berbentuk kucing yang kini menjadi identiti hasil karyanya.
Baginya, dunia seni kraftangan dan DIY sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya kerana setiap hasil yang dihasilkan bukan sahaja memberi kepuasan, malah menjadi terapi untuk menenangkan fikiran.
“Saya suka berkarya dan melakukan pelbagai perkara yang melibatkan kreativiti. Kalau saya nampak barang-barang lama pun, mesti saya terfikir hendak DIY macam-macam benda.
“Bagi saya, semua itu ibarat terapi minda untuk mencari ketenangan,” katanya.

Malah, lebihan kain daripada penghasilan bantal juga tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya dimanfaatkan semula untuk menghasilkan pelbagai kraf kecil seperti rantai kunci, penanda buku dan aksesori kreatif lain.
Belajar sendiri
Berbeza dengan sesetengah pengusaha kraf yang mengikuti kelas atau kursus khas, Nor Ain Atiqah memilih untuk mempelajari kemahiran menghasilkan bantal secara sendiri melalui pelbagai sumber rujukan.
Platform seperti Pinterest menjadi tempat utama untuk mendapatkan inspirasi rekaan, manakala YouTube pula membantunya memahami teknik jahitan, proses penghasilan serta cara menghasilkan kemasan yang lebih baik.
Menurut Nor Ain Atiqah, setiap rekaan yang dihasilkan memerlukan proses percubaan yang berulang sebelum memperoleh bentuk yang benar-benar memuaskan hati.
“Untuk menghasilkan satu rekaan, saya akan berulang kali melukis pola baharu dan cuba menjadikannya bantal sehingga saya benar-benar berpuas hati dengan bentuknya,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan untuk menghasilkan bantal yang kemas dan berkualiti bukanlah sesuatu yang mudah.

Cabaran terbesar pada peringkat awal ialah apabila hasil jahitan tidak menepati jangkaan sama ada dari segi bentuk, jahitan atau kemasan akhir.
Ada kalanya bantal yang dihasilkan tidak kelihatan seperti yang dirancang dan memerlukan penambahbaikan sebelum mencapai hasil yang diinginkan.
Namun, setiap kesilapan tersebut dianggap sebagai pengalaman berharga yang membantunya memperbaiki teknik dan meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa.
Melalui latihan yang berterusan, Nor Ain Atiqah semakin yakin untuk menghasilkan bantal yang bukan sahaja lebih kemas, malah mempunyai kualiti yang lebih baik.

Katanya, tempoh untuk seseorang menguasai kemahiran menghasilkan bantal bergantung kepada tahap kemahiran, kesungguhan serta kekerapan latihan yang dilakukan.
“Kalau seseorang itu memang sudah ada asas kemahiran menjahit, tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan bantal yang berkualiti,” katanya.
Ketelitian sangat penting
Bagi Nor Ain Atiqah, setiap penghasilan bantal memerlukan ketelitian bagi memastikan hasil akhir bukan sahaja kelihatan cantik, malah selesa dan tahan digunakan.
Proses penghasilan bermula dengan menekap pola pada kain sebelum melukis bentuk mengikut acuan yang dipilih.
Selepas itu, kain akan dipotong mengikut bentuk bahagian hadapan dan belakang sebelum kedua-duanya dicantum serta dijahit.
Sedikit ruang akan ditinggalkan bagi membolehkan kapas dimasukkan ke dalam bantal sebelum jahitan terakhir disempurnakan.
Antara bahan asas yang diperlukan ialah pola, kain, benang, kapas isian, gunting dan jarum.

Menurut Nor Ain Atiqah, tempoh untuk menyiapkan sebiji bantal biasanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan.
Sebagai suri rumah dan ibu kepada dua orang anak, dia perlu bijak membahagikan masa antara tanggungjawab keluarga serta tempahan pelanggan.
Kebiasaannya, dia memilih untuk menjahit pada waktu pagi ketika anak-anak berada di sekolah atau pada waktu malam selepas mereka tidur kerana suasana lebih tenang dan memudahkannya memberi tumpuan.
Bahagian paling mencabar dalam proses menghasilkan bantal ialah ketika mengisi kapas.
Katanya, proses tersebut dilakukan sepenuhnya secara manual tanpa bantuan mesin, sekaligus memerlukan kesabaran dan ketelitian terutama pada bahagian kecil seperti telinga serta ekor kucing.
“Saya perlu memastikan kapas benar-benar padat terutama pada bahagian telinga dan ekor kucing.
“Suami juga selalu membantu saya mengisi kapas supaya tempahan dapat disiapkan dengan lebih cepat,” katanya.
Dalam setiap hasil jahitan, Nor Ain Atiqah amat menitikberatkan aspek kekemasan dan kualiti.
Selain memastikan setiap jahitan dibuat dengan kemas dan tahan lama, dia turut memberi perhatian terhadap kepadatan kapas supaya bentuk bantal kekal cantik serta selesa digunakan.
Dari segi rekaan pula, dia lebih gemar menghasilkan bantal dengan konsep minimalis tetapi tetap mengekalkan elemen comel yang menjadi daya tarikan utama.
“Saya suka menghasilkan rekaan yang ringkas, tetapi masih nampak comel. Saya juga suka bereksperimen dengan warna dan corak kain supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya.

Selain keunikan rekaan, aspek keselamatan turut menjadi keutamaannya, terutama kerana bantal tersebut turut sesuai digunakan oleh golongan bayi.
Berbeza dengan sesetengah produk hiasan yang menggunakan aksesori tambahan, dia memilih menggunakan jahitan tangan sebagai mata pada setiap bantal bagi mengelakkan penggunaan bahan kecil yang boleh mendatangkan risiko.
Pendekatan tersebut menjadikan setiap bantal yang dihasilkan bukan sahaja menarik dari segi rupa, malah lebih selamat untuk digunakan.
Jana pendapatan
Bagi Nor Ain Atiqah, perkara paling menyeronokkan dalam menghasilkan bantal berbentuk kucing ialah melihat sekeping kain yang biasa berubah menjadi sebuah hasil karya comel melalui sentuhan tangannya sendiri.
Setiap kali berjaya menyiapkan sebiji bantal, dia berasa puas kerana dapat menghasilkan sesuatu yang lahir daripada idea, kreativiti dan usaha sendiri.
Namun, kepuasan terbesar hadir apabila hasil jahitannya mendapat penghargaan daripada pelanggan serta menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Kepuasan terbesar saya ialah apabila pelanggan menggunakan bantal itu sebagai hiasan rumah dan mereka berkongsi gambar serta memberikan maklum balas yang positif,” katanya.
Menurut Nor Ain Atiqah, menjahit juga menjadi terapi yang membantu dirinya dari segi emosi.

Apabila memberi tumpuan kepada setiap proses daripada memotong kain sehingga menyiapkan jahitan, dia berasa lebih tenang dan dapat melupakan seketika tekanan daripada rutin harian.
Sokongan daripada suami, anak-anak, ahli keluarga dan rakan-rakan juga menjadi penguat semangat untuknya terus berkarya.
Pada masa hadapan, dia turut menyimpan impian untuk mengembangkan lagi perniagaan jahitannya dengan memiliki bengkel atau studio sendiri bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Selain itu, dia berharap hasil karya yang dihasilkan dapat diperkenalkan dengan lebih meluas bukan sahaja di seluruh Malaysia, malah ke pasaran antarabangsa jika diberi peluang.
Bagi Nor Ain Atiqah, menghasilkan bantal berbentuk kucing bukan sekadar hobi atau sumber pendapatan semata-mata.
Sebaliknya, ia menjadi medium untuk terus berkarya, menzahirkan kreativiti serta menghasilkan sesuatu yang mampu membawa kegembiraan kepada orang lain.
“Apabila melihat hasil tangan sendiri dihargai dan menjadi sebahagian daripada kehidupan orang lain, itulah yang membuatkan saya terus bersemangat untuk berkarya,” katanya.










