LIMA: Demam Piala Dunia 2026 bukan sahaja mencetuskan keghairahan di atas padang, malah turut mempengaruhi ibu bapa di Peru apabila ratusan bayi yang baru dilahirkan dinamakan sempena penyerang sensasi Norway, Erling Haaland.
Menurut daftar identiti kebangsaan Peru semalam, seramai 468 kanak-kanak didaftarkan menggunakan nama keluarga Haaland, manakala 91 lagi diberikan nama penuh Erling Haaland.
Populariti penyerang berusia 25 tahun itu melonjak mendadak susulan aksi cemerlangnya pada kejohanan kali ini apabila meledak tujuh gol dalam empat perlawanan setakat ini.
Haaland turut menjadi wira Norway apabila menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Brazil, sekali gus membawa skuad negara Scandinavia itu melakar sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.
Norway dijadualkan berdepan England dalam aksi suku akhir, esok, dengan Haaland dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama pasukannya untuk meneruskan kemaraan.
Jurucakap daftar identiti Peru, Ivan Torres berkata, ramai rakyat negara itu memilih nama pemain bola sepak terkenal sebagai inspirasi ketika mendaftarkan kelahiran anak mereka.
Katanya, kebanyakan bayi yang dinamakan sempena Haaland didaftarkan dalam tempoh beberapa minggu selepas sepak mula Piala Dunia 2026, sebelum jumlah itu meningkat dengan ketara sebaik Norway mengesahkan tempat ke suku akhir.
“Malah boleh dikatakan Haaland juga orang Peru,” katanya berseloroh kepada Panamericana Television.
Fenomena itu bukanlah sesuatu yang baharu di Peru apabila sebelum ini seramai 3,402 individu dinamakan Messi, termasuk 292 yang menggunakan nama penuh bintang Argentina, Lionel Messi.
Selain itu, seramai 1,185 rakyat Peru dinamakan Cristiano Ronaldo, 1,241 lagi menggunakan nama Yamal sempena bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, manakala Neymar kekal paling popular dengan 33,809 individu menggunakan nama bintang Brazil itu.- AGENSI










