KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memastikan perkhidmatan kepada usahawan dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) menyeluruh serta saling melengkapi antara agensi di bawah kementerian.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, perkara itu antara yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan kertas Pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), 6 Mei lalu.
“Justeru, saya menyeru kepada semua warga kementerian dan agensi di bawah untuk memperkukuhkan semangat kerjasama dan kerja berpasukan serta tidak work in silo dalam melaksana dan menyampaikan perkhidmatan.
“Ia agar tiada kumpulan usahawan dan koperasi yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga kementerian dan agensi, di sini.
Dalam pada itu, Ewon yakin KUSKOP sedang bergerak di landasan yang betul ke arah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di dalam Perancangan Strategik Kementerian 2024 sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
“Sejak beberapa bulan lepas, KUSKOP telah menganjurkan dan menyertai pelbagai program MADANI seperti Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 pada 23-25 Februari di Simpang Empat, Perlis.
“Selain itu, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) pada 30 Mac di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor dan Program MADANI Rakyat Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mei,” katanya.
Menurutnya, program-program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Katanya, selain mendapat maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian, para pengunjung juga dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga yang berpatutan dan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kenaikan kos sara hidup mereka.
Untuk rekod, Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI di Perlis telah mencatatkan jualan sebanyak RM272,213.86 dan sebanyak 12,332 orang pengunjung.
Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan di Sungai Buloh pula mencatatkan jualan sebanyak RM435,480.00 dengan 3,629orang pengunjung.
“Program MADANI Rakyat di Pulau Pinang berjaya merakamkan jualan sebanyak RM307,995.20 dan mencatatkan sejumlah 289,228 orang pengunjung,” katanya.- UTUSAN










