MADINAH: Seramai 282 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz hari ini.
Jemaah haji yang terdiri daripada 115 jemaah lelaki dan 167 wanita itu selamat tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada pukul 4.10 pagi sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal .
Ketibaan rombongan jemaah disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif.
Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) melibatkan Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin, pengurusan dan petugas Tabung Haji (TH) untuk musim 1445H/2024.
Sementara itu, Roslan berkata, menerusi pemerhatiannya, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) telah melakukan persediaan rapi untuk menerima kedatangan semua jemaah haji dengan mengadakan perbincangan sewajarnya dengan pihak-pihak berwajib termasuk Kementerian
Haji dan agensi-agens berkaitan di Arab Saudi.
“Ibu Pejabat Tabung Haji di Madinah yang terletak di bangunan Hotel Roha Al-Madinah sejak minggu lepas sebagai persiapan menyantuni para dhuyufurrahman.
“Oleh demikian, saya percaya Tabung Haji mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya kepada petugas media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Hotel Emaar Royal di sini hari ini.
Bas yang membawa kesemua jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, tiba pada jam 6.30 pagi waktu tempatan.
Beliau dalam masa yang sama menasihati semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan mereka selain mematuhi arahan Tabung Haji dari semasa ke semasa.
“Patuhi peraturan dan undang-undang tempatan Arab Saudi dan jaga jaga imej serta nama baik Malaysia setiap masa tidak kira di mana jua berada,” katanya.
Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji dapat terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet yang seimbang sepanjang berada di Tanah Suci ini.
Roslan turut mendoakan semua urusan Tabung Haji dipermudahkan dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta semua jemaah mendapat haji yang mabrur insya-Allah.
Selain KT1, satu lagi penerbangan dari Malaysia tiba di Madinah pada 7.50 pagi tadi (waktu tempatan) dengan membabitkan 281 jemaah haji. Mereka akan menginap di Hotel Saja al Madinah
Mereka adalah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia, tahun ini yang akan tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL oleh Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines. –UTUSAN










