Kumpulan kedua petugas haji berlepas ke Arab Saudi

Kumpulan kedua petugas haji berlepas ke Arab Saudi

haji
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 160 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) digerakkan ke Arab Saudi hari ini bagi membuat persiapan awal bagi operasi musim haji tahun 1445H/2024M.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, mereka antara lebih 600 orang yang terpilih menjadi petugas Operasi Haji Tanah Suci (OHTS) untuk tahun ini. 

Katanya, petugas haji akan memastikan semua sektor operasi antaranya pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain pusat perkhidmatan berada dalam keadaan yang terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.

“Keberangkatan petugas haji dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan di mana hari ini merupakan pelepasan kumpulan kedua melibatkan petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Penerbangan kumpulan pertama petugas telah mula berlepas pada 30 April dan akan diikuti tiga kumpulan besar iaitu pada hari ini, 6 Mei dan 9 Mei. 

“Kesemua para petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus komprehensif bagi memastikan mereka bersedia dan cukup terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cekap untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara,” katanya dalam kenyataan. 

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula 9 Mei depan, manakala penerbangan terakhir adalah pada 9 Jun. 

Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada 15 Jun. 

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd. dan Saudia Airlines. 

“Sebanyak lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri. 

“Antaranya Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN