KPDN rampas 94 unit tong gas bernilai RM23,000

KPDN rampas 94 unit tong gas bernilai RM23,000

KPDN menyita 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 12kg dalam sebuah lori.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  merampas  94 unit tong gas bernilai RM23,000 dalam serbuan di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan dilakukan setelah menerima aduan  orang awam mengenai berat isipadu gas yang disyaki kurang daripada yang sepatutnya.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati premis tersebut  tiada lesen borong atau runcit  di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kata Armizan, pemeriksaan di premis itu kemudian menemui 675 unit tong gas yang berisi dan tong gas kosong pelbagai jenama diletakkan di dalam dua buah lori dan rak di  premis tersebut.

“Penguat kuasa KPDN kemudian  menyita 94 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 12kg, sebuah lori dan beberapa dokumen perniagaan lain bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan. 

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000.00. Seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun yang juga pemilik kepada premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberi amaran terhadap mana-mana individu atau syarikat  agar sentiasa mematuhi  undang-undang dalam berniaga.

“KPDN tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk menjual gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen  selain menjual LPG yang tidak mencukupi berat isipadu gasnya. 

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN