PETALING JAYA: Kolej Shen Jai dan Sinopont Everthriving (M) Sd. Bhd. (Sinopont) bekerjasama melaksanakan program perintis “Akademi Dalam Industri” bagi memacu kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergaji tinggi.
Ahli Majlis TVET Negara merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee berkata, kesepakatan itu dicapai ketika beliau mempengerusikan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pihak terbabit yang turut dihadiri lima jurulatih TVET dan 20 pelatih daripada pelbagai bidang.
Menurutnya, program perintis berkenaan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja.
“Melalui program ini, syarikat Sinopont Everthriving mengambil peranan sebagai perekrut, majikan dan pembekal latihan utama, manakala Kolej Shen Jai bertindak sebagai pihak pentauliahan dan akreditasi.
“Pendekatan ini akan mempelbagaikan laluan latihan dan pentauliahan golongan belia yang memilih TVET.
“Ia berupaya memperkemas proses TVET supaya latihan dan pentauliahan dua-duanya dijalankan di bawah upahan majikan. Hasilnya, produktiviti pelatih dan pelaburan majikan meningkat secara mendadak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Eksekutif InvestPerak berkata, Kerajaan Negeri Perak melalui InvestPerak dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah memulakan usaha menarik pelaburan daripada pemain industri sejak di sepanjang rantaian bekalan industri pembuatan komponen-komponen panel Fotovoltan.
Katanya, ia termasuk bingkai dan lembaran, kaca Fotovoltan, sel Fotovoltan dan filem enkapsulasi yang merupakan hasil pengeluaran utama syarikat Sinopont Everthriving.
“Maka, usaha jitu ini pula telah membuka ruang kepada Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. untuk memulakan pelaburan sebanyak RM100 juta dalam operasi pemprosesan mineral yang menjangkakan hasil pengeluaran tahunan sebanyak satu juta tan pasir silika putih, 100, 000 tan pasir kuarza ketulenan tinggi dan bahan silikon untuk industri Fotovoltan.
“Kejayaan hari ini adalah semata-mata untuk memastikan Malaysia dan Perak menjadi pilihan destinasi utama dalam pelaburan sektor tenaga boleh baharu dan tenaga kerja berkemahiran, demi memperluas asas perindustrian pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi dan bergaji tinggi.
“Inisiatif ini membawa harapan untuk kita anak-anak Perak menikmati kepelbagaian ekonomi yang menyokong asas pembangunan sosial yang lestari,” katanya. – UTUSAN










