SEPANG: Tahap kawalan keselamatan ketat di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang di sini dijamin menjelang lawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke premis tersebut pada 26 Mei.
Jurucakap agensi berkenaan ketika ditemui Utusan Malaysia malah berkata, waris yang menghantar bakal jemaah tidak perlu bimbang dengan situasi di kompleks itu kerana dipantau rapi 24 jam.
“Pihak TH turut mendapat kerjasama dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi aspek isu keselamatan di kompleks ini,” katanya.
Sultan Ibrahim dijadual mencemar duli bagi merasmikan Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada 284 jemaah haji musim ini pada Ahad ini melibatkan kumpulan KT055 yang melaporkan diri di premis itu pukul 7.30 pagi sebelum berlepas dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH 8122 ke Jeddah.
Sultan Ibrahim bakal menyantuni tetamu Allah itu setelah acara tersebut disempurnakan penyandang dahulu, Al-Sultan Abdullah buat kali terakhir pada 6 Jun 2023.
Isu kawalan keselamatan menjadi tumpuan ekoran serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat lalu disusuli cubaan ceroboh Istana Negara di Kuala Lumpur keesokannya selain kes membabitkan seorang lelaki mabuk cuba merampas senjata api seorang anggota pos pengawal dan mahu menyerang Balai Polis Datuk Keramat di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, jurucakap TH berkata, selain pasukan IPD KLIA yang kebetulan terletak di depan kompleks tersebut, agensi itu turut disokong anggota polis bantuannya sendiri.
“Insya-Allah, pihak TH memang sentiasa berbincang dengan polis dan tidak memandang ringan terhadap sebarang ancaman kemungkinan risiko bahaya luar jangka,” tegasnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana Kompleks TH Sepang yang terletak dalam Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick itu masih dalam situasi terkawal.
Waris yang mengiringi bakal jemaah dilihat akur dengan arahan pihak keselamatan dan tidak cuba melepasi kawasan larangan serta berada di luar pagar yang didirikan TH.
Bagi mengelakkan kesesakan trafik, waris perlu meletakkan kenderaan di kawasan parkir awam percuma di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA atau padang IPD KLIA bersebelahan. – UTUSAN










