Kepayahan hidup tidak halang Irfan peroleh 9A

Kepayahan hidup tidak halang Irfan peroleh 9A

MUHAMMAD Irfan Azhar menunjukkan keputusan 9A SPM kepada ibu bapanya yang sedang bekerja di sawah di Kampung Kepala 10, Lomboh, Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hidup dalam keada­an serba kekurangan bukan penghalang kepada Muhammad Irfan Azhar,18, memperoleh keputusan cemerlang semua 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.

Malah, Muhammad Irfan dari Kampung Kepala 10, Lomboh, Tambun Tulang di sini juga sa­ngat teruja meredah ke dalam lumpur bersama ibunya bagi menunjukkan keputusan itu melalui telefon pintar kepada ayahnya yang sedang melakukan kerja-kerja di sawah.

Selain mengambil upah me­lakukan kerja-kerja di bendang, bapa Muhammad Irfan, Azhar Sabu, 49, juga bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Irfan berkata, kesusahan hidup bukan melemahkan semangatnya sebalik memberi motivasi untuk terus berusaha keras berjaya dalam pendidikan sekali gus membantu mengubah nasib keluarga pada masa depan.

Katanya, dia melihat bagai­mana kepayahan ayah bekerja keras setiap hari mencari rezeki untuk kesinambungan hidup mereka sekeluarga selain memberi pendidikan untuk anak-anak.

“Situasi itu memberi motivasi yang kuat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Lima tahun belajar bersungguh-sungguh dengan harapan saya mampu membuatkan ibu dan ayah tersenyum apabila melihat keputusan ini.

“Setiap pagi, sebelum pergi sekolah, saya juga sempat mencium pipi dan bersalam dengan ayah. Ayah keluar pagi dan malam baru pulang bagi mencari rezeki,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad yang merupakan sekolah luar bandar.

Muhammad Irfan memperolehi A+ bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan al-Quran dan Sunnah, (A) bagi mata pelajaran Sejarah, Matematik, Sains, Ekonomi serta Pendidikan Syariah Islamiah selain A- bagi subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Tambah Muhammad Irfan, dia selalu mengamalkan belajar secara berkumpulan selain tidak pernah meninggalkan solat sebagai resipi kejayaan tersebut.

Ujarnya, dia bercadang menyambung pelajaran ke tingkatan enam selepas ini sebelum meneruskan pendidikan di peringkat ijazah selepas ini.

Sementara itu, Azhar berkata, keputusan cemerlang anaknya itu melenyapkan kepenatannya bekerja keras setiap hari.

“Seronok, gembira, berbaloi dengan keringat peluh setiap hari melihat anak berjaya dalam pendidikan. Susah bagaimanapun saya tetap akan berusaha keras demi pendidikan anak-anak,” katanya.

Ibu Muhammad Irfan, Normaliza Mohd Noh, 46, pula berkata, hidup dalam serba kekurangan memerlukan mereka sentiasa berjimat-cermat dengan apa yang penting pendidikan anak-anak tidak diabaikan.

“Selepas Irfan, masih ada tiga lagi anak yang bersekolah. Kami juga mendapat bantuan makanan sebulan sekali dari kerajaan selain bantuan persekolahan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×