HULU SELANGOR: Kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu tidak terkesan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli.
Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, kempennya berjalan dengan baik dan penerimaan pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu kepadanya berada di peringkat memuaskan.
Sehubungan itu, katanya, situasi yang dihadapi oleh Mohd. Shukri tidak menjejaskannya.
“Saya rasa tidak (terjejas), kawasan pun jauh dan di sini lebih kepada (isu) lokal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Mohd. Shukri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu disiasat selama sembilan jam di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin.
Dipercayai beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Ia selepas laporan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis itu bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.
Dalam pada itu, Khairul Azhari yakin semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor akan ditawan oleh PN.
“Ada harapan untuk kita ambil alih tampuk kepemimpinan DUN Kuala Kubu Baharu. Insya-Allah misi 4-0 akan tercapai pada 11 Mei ini,” ujarnya. – UTUSAN










