Keluarga suspek serang balai polis jalani kehidupan normal

Keluarga suspek serang balai polis jalani kehidupan normal

RUMAH suspek serangan balai polis yang terletak di hujung jalan di Kampung Ulu Tiram, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Bagaimanapun, Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, berkata, keluarga berkenaan kurang bergaul dengan masyarakat setempat.

Walaupun menjadi ketua kampung tersebut sejak lebih setahun lalu, beliau mengakui kurang mengenali keluarga berkenaan.

“Mereka tinggal di kawasan tanah persendirian. Terdapat kira-kira 10 buah rumah di kawasan berkenaan dan dipercayai dihuni ahli keluarga dan saudara-mara mereka sahaja.

“Ada juga saya sampaikan sumbangan makanan dan sebagainya, tetapi hanya melibatkan rumah di kawasan hadapan kediaman persendirian berkenaan dan tidak pernah masuk sehingga ke dalam.

“Setahu saya, ada antara ahli keluarga mereka yang bersekolah dan bekerja seperti orang lain, cuma mungkin lebih gemar menyendiri dan kurang bergaul,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhamad berkata, keluarga tersebut telah lama menetap di kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 7,000 penduduk.

Kelmarin, jenazah suspek yang berusia 21 tahun dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, di sini.

Dalam serangan kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram maut diserang seorang pemuda bersenjatakan parang serta turut merampas senjata api daripada anggota yang ditetaknya.

Serangan itu turut mencede­rakan seorang lagi anggota polis dan suspek turut terbunuh akibat ditembak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN