VANCOUVER: Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam120 minit aksi di Vancouver, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Switzerland akan berdepan juara bertahan, Argentina, yang sebelum itu bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir 3-2 dalam satu lagi aksi dramatik pusingan 16 terbaik.
Kedua-dua pasukan saling mengimbangi permainan dalam perlawanan terakhir pusingan 16 terbaik, yang juga merupakan aksi terakhir Piala Dunia 2026 di luar Amerika Syarikat.
Dalam penentuan sepakan penalti yang mendebarkan, pemain Colombia, Davinson Sanchez terlebih dahulu terkena palang, namun Switzerland turut mensia-siakan peluang apabila sepakan Manuel Akanji melambung tinggi.
Penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel kemudian muncul wira apabila menepis sepakan Cucho Hernandez sebelum Ruben Vargas tenang menyempurnakan penalti terakhir untuk mengesahkan kemenangan 4-3.
Ia adalah kali pertama Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia sejak menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 1954.
Colombia, yang mendapat sokongan padu ribuan penyokong di Vancouver dan hanya dibolosi sekali dalam empat perlawanan sebelum ini, terus mempamerkan aksi bertahan yang mantap, sama seperti Switzerland yang sukar ditembusi sepanjang kejohanan.
Peluang terbaik babak pertama hadir pada minit ke-21 apabila Kobel melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan rembatan lencong Gustavo Puerta dari luar kotak penalti.
Switzerland meningkatkan tekanan selepas rehat hidrasi, namun Camilo Vargas cemerlang menepis percubaan Fabian Rieder sebelum sekali lagi menggagalkan cubaan Dan Ndoye, manakala Colombia turut mencipta peluang menerusi Luis Suarez tetapi penyudahnya tersasar.
Perlawanan terus buntu sehingga tamat masa sebenar sebelum kedua-dua pasukan saling mengancam dalam masa tambahan. Jhon Lucumi menanduk bola mengenai palang, Kobel menyelamatkan rembatan Jaminton Campaz, manakala Vargas pula menafikan percubaan pemain gantian Switzerland, Zeki Amdouni.
Campaz turut mensia-siakan peluang keemasan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Colombia pada penghujung masa tambahan sebelum Switzerland membuktikan ketenangan mereka dalam penentuan sepakan penalti untuk mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik.
Switzerland kini akan menentang Argentina di Kansas City pada Sabtu bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2026.-AGENSI










