TANJUNG MALIM: Jabatan Perikanan Perak mengesahkan kejadian tular dalam media sosial melibatkan sekumpulan individu melepaskan ribuan anak ikan larangan di Sungai Hulu Bernam petang semalam berlaku di Selangor, bukannya di negeri ini.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A. Manap berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Selangor.
“Ia dilakukan di bawah jambatan sempadan (yang menghubungkan antara Negeri Perak dan Selangor). Pelepasan itu didapati dilakukan pada sebelah Selangor,” katanya di sini.
Terdahulu tular dalam media sosial mengenai sekumpulan individu yang didakwa melepaskan ribuan anak ikan asing atau larangan ke dalam sungai di Sungai Hulu Bernam.
Kejadian itu didakwa berlaku di sini yang mengundang kecaman dan kritikan warganet.
Sungai Hulu Bernam mempunyai keunikan tersendiri kerana menjadi sempadan semulajadi yang memisahkan dua negeri iaitu Perak dan Selangor. –UTUSAN










