PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperluas rangkaian sistem rel ke utara dan selatan Kuala Lumpur dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang masih kurang mendapat liputan pengangkutan awam berasaskan rel.
Pengerusi Malaysian Land Public Transport Forum (MLPTF), Cheong Sze Hoong berkata, antara kawasan yang masih memerlukan penambahbaikan sistem rel ialah Selayang dan Batu Caves di utara Kuala Lumpur, selain Alam Damai dan The Mines di bahagian selatan ibu negara.
Katanya, perkhidmatan rel di beberapa kawasan berkenaan masih belum memenuhi keperluan pengguna kerana liputannya terhad dan tidak menawarkan kekerapan perjalanan seperti sistem metro.
“Ketika ini, sistem rel masih belum meliputi kawasan utara Kuala Lumpur, terutamanya di Selayang dan Batu Caves. Walaupun Batu Caves mempunyai perkhidmatan komuter, kekerapannya tidak sama seperti sistem metro kerana komuter beroperasi mengikut jadual.
“Sistem metro merujuk kepada Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel yang mempunyai kekerapan perjalanan lebih tinggi berbanding komuter. Oleh itu, kawasan Selayang dan Batu Caves masih memerlukan perkhidmatan rel yang lebih baik.
“Selain itu, di bahagian selatan Kuala Lumpur, kawasan Alam Damai dan The Mines juga masih kurang mendapat liputan sistem rel. Pada asalnya, laluan MRT Putrajaya dirancang melalui kawasan tersebut, namun jajaran itu diubah susulan projek Bandar Malaysia.
“Akibat perubahan itu, laluan MRT melalui Chan Sow Lin, Bandar Malaysia, Kuchai dan Seri Kembangan tanpa melalui kawasan Cheras seperti Alam Damai, Bukit Belimbing, Balakong dan The Mines. Kawasan-kawasan ini masih kurang mendapat perkhidmatan rel,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembukaan LRT Laluan Shah Alam (LRT3) bermula semalam dan boleh dinaiki secara percuma sehingga 31 Julai ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, pembinaan laluan rel baharu sahaja tidak mencukupi sekiranya kelemahan keseluruhan ekosistem pengangkutan awam khususnya aspek first-mile dan last-mile tidak ditambah baik.
Katanya, ramai pengguna masih memilih kenderaan persendirian kerana berdepan kesukaran untuk bergerak dari rumah ke stesen rel atau dari stesen ke destinasi akhir, selain kekurangan rangkaian pengangkutan sokongan yang cekap.
“Kekurangan bas pengantara yang kerap serta integrasi yang lemah antara rel dan bas menjadikan pengangkutan awam kurang menarik berbanding memandu. Justeru, kerajaan perlu memperluas perkhidmatan bas pengantara (feeder bus) dan Demand Responsive Transit (DRT) ke lebih banyak kawasan yang mempunyai stesen rel” ujarnya.-UTUSAN










