SHAH ALAM: Kegagalan kerajaan menentukan kayu ukur berita palsu dengan jelas untuk mengekang penularan maklumat tidak benar didakwa menjadi punca kejatuhan indeks kebebasan akhbar negara pada kedudukan ke-107.
Malah, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil gagal memahami beliau merupakan punca kepada keadaan tersebut.
“Mungkin Ahmad Fahmi masih tidak faham atau enggan faham semua ini berpunca daripada beliau dan ingin terus menjadi liabiliti yang meranapkan kebebasan bersuara.
Maka, demi kebebasan media dan masa hadapan negara yang lebih baik, Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak Ahmad Fahmi mengambil tanggungjawab segera dengan meletak jawatan serta-merta, daripada terus membiarkan kebebasan bersuara dan media terus ranap dek tangannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, tindakan mengekang berita palsu yang dilakukan kerajaan didakwa hanyalah topeng menghalalkan tindakan untuk menyekat sebarang kritikan kepada Kerajaan Madani, atau suara-suara yang tidak senada dengan mereka.
“Mereka melaung mantera ‘kami terbuka dengan kritikan’, sedangkan hakikat yang berlaku tidak sesuci yang disangka. Maka, Indeks Kebebasan Akhbar Dunia hari ini, adalah indikator ‘kebebasan bersuara’ rejim Malaysia Madani,” tegasnya.
Bagaimanapun, Mohamed Sukri memaklumkan pengumuman yang dibuat oleh Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2024 bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Ketua Penerangan PKR itu yang menguruskan hal ehwal komunikasi.
“Kegagalan Ahmad Fahmi menguruskan hal ehwal komunikasi ini bukanlah cerita baharu. Malah, Perdana Menteri sendiri pernah mengakui, terdapat kelemahan komunikasi yang begitu ketara dalam kerajaan, hingga menyebabkan dasar kerajaan tidak sampai kepada rakyat.
“Faktanya, imej Malaysia dalam aspek kebebasan bersuara dan kebebasan media terus merudum saban hari. Sudahlah gagal menyampaikan dasar kerajaan dengan meluas, menterinya pula lebih sibuk dengan agenda kononnya ‘mengekang berita palsu’,” ujarnya. – UTUSAN










