KUALA NERUS: Kebakaran pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan sejak Jumaat lalu sudah berjaya dipadamkan kira-kira 70 peratus sehingga hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, empat daripada enam hektar kawasan yang terbakar telah dipadamkan.
Menurut beliau, operasi pemadaman masih diteruskan dengan kekuatan 12 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Jalan Kota serta Marang.
“Seramai 12 pegawai dan anggota JBPM negeri dengan kekuatan empat jentera masih giat meneruskan kerja-kerja pemadaman dibantu agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Rela.
“Kita juga menggunakan empat jentera termasuk sebuah lori tangki berkapasiti 20,000 liter air.
“Keluasan kebakaran membabitkan kawasan seluas enam hektar dan masih berbaki dua hektar lagi untuk dipadamkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu dilaporkan, sebuah pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan dekat Tepoh yang berkeluasan lapan hektar telah terbakar 75 peratus.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.20 petang Jumaat lalu disyaki berpunca cuaca kering dan panas berterusan sehingga turut menjejaskan penduduk berhampiran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dua buah keluarga terpaksa dipindahkan sementara ekoran kejadian berkenaan.
Katanya, pihaknya bersama Pejabat Daerah Kuala Nerus memantau rapi perkembangan itu sambil menyediakan kediaman sementara kepada mangsa terlibat. – UTUSAN










