JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meningkatkan keselamatan di setiap balai polis dalam kawasan Parlimen Tebrau terutama di kawasan-kawasan yang dikenal pasti kritikal.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia bagi memastikan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi ini tidak berulang dan merebak ke tempat lain.
Kata Jimmy, beliau akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan perkara tersebut.
Ini kerana katanya, susulan insiden itu, beliau yakin rakyat Malaysia bimbang dengan keberadaan kumpulan ekstremis yang dipercayai wujud di kawasan Tiram.
“Justeru itu, saya menggesa supaya pihak polis dapat tingkatkan kawalan keselamatan, jalankan siasatan segera dan ambil tindakan setegasnya bagi mengekang aktiviti ekstremis ini daripada berkembang,” katanya di sini hari ini.
Negara dikejutkan dengan tindakan seorang ahli Jemaah Islamiyah (JI) menyerang Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi ini menyebabkan dua anggota terbunuh dan seorang lagi cedera ditembak. Lelaki berusia 21 tahun ini turut mati ditembak.
Tambah Jimmy, insiden itu detik hitam buat negara dan berharap ia tidak akan berulang pada masa hadapan.
“Saya merakamkan takziah dan bersimpati kepada keluarga dua anggota polis yang meninggal dunia dan yang cedera,” katanya. – UTUSAN










