KOTA KINABALU: Kajian empirikal pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya yang diamalkan di luar negara dijangka selesai menjelang hujung tahun ini sebelum ia dibuat perbandingan dengan negeri-negeri dalam Malaysia pada tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebelum ini mereka telah melakukan kajian empirikal di Kanada dan mungkin pada bulan depan atau bulan berikutnya, mereka akan ke Australia.
Beliau berkata, delegasi Malaysia akan berjumpa dengan peguam negara di Australia untuk melihat kesesuaian model yang boleh diguna pakai di negara ini.
“Kita akan buat empirikal di sana dan paling akhir kita akan buat kajian di United Kingdom. Satu faktor yang saya tengok di Kanada dan juga Australia yang kami akan pergi, setiap negeri di bawah Persekutuan itu mempunyai pendakwa raya mereka sendiri.
“Macam di Sabah dan Sarawak ada hakim dari Sabah dan Sarawak, tiada dari Semenanjung. Jadi, itu dapat kita tengok memang banyak persamaan tapi, ada perbezaan dari segi pendakwaan yang masih lagi berpusat,” katanya semasa lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Situasi itu berbeza dengan di Kanada dan Australia, pendakwaan di sana berpecah di peringkat negeri. Itu sebabnya kajian juga akan dilakukan di peringkat negeri Sabah dan Sarawak.
Azalina berkata, pihaknya telah berjanji kepada Parlimen untuk menyelesaikan kajian mengenai pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya dalam tempoh dua tahun. – UTUSAN










