PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘melawat’ pulau Batu Puteh bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semalam.
Azalina berkata, beliau bersama Anwar menaiki helikopter untuk melihat Pulau Batu Puteh selepas Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang.
“Saya tunjuk (pada) Perdana Menteri jarak Batu Puteh dan Middle Rock (Batuan Tengah). Saya maklumkan kepada beliau ramai rakyat di kawasan saya mengeluh kerana dengan mudah semakan semula kedaulatan Batu Puteh ditarik balik dan kekal terlepas kepada kerajaan Singapura.
“Ibarat sangat hampir, namun tetap jauh. Kita terlepas peluang kerana Malaysia tarik balik semakan tersebut pada Mei 2018,” katanya menerusi tulisan di media sosial X.
Pada 22 Jula tahun lalu, media melaporkan, Kabinet membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Anwar berkata, meskipun kerajaan berpandangan keputusan Dr. Mahathir pada 2018 yang tidak meneruskan semakan kehakiman terhadap tuntutan ke atas pulau Batu Puteh adalah satu kesilapan namun tindakan undang-undang tidak diambil bagi menghormati keadaan beliau.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura, Middle Rocks kepada Malaysia dan South Ledge menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta interpretasi penghakiman itu.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr. Mahathir telah menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca kepada Singapura. – UTUSAN








