KUALA LUMPUR: Kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya hanya boleh dilaksanakan selepas genap tempoh lapan tahun daripada tarikh siapnya kajian terdahulu atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketetapan itu selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menurut beliau, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan di Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
“Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya kini dalam proses menyediakan syor kajian semula persempadanan bagi negeri berkenaan sebelum melaksanakan prosedur seterusnya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian berkenaan turut mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 dan mula berkuat kuasa pada 8 Ogos 2025,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai perkembangan terkini kajian semula persempadanan bagi dan jangkaan penyempurnaan proses berkenaan.
Mengulas mengenai Sabah, Azalina memaklumkan tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri itu telah tamat pada 21 Februari 2025, namun SPR masih belum membuat keputusan untuk memulakan proses tersebut susulan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 yang baru selesai.
Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu pula, beliau berkata tempoh kajian semula persempadanan terdahulu dijangka berakhir pada 9 Mac 2026.
“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan kajian semula persempadanan hanya akan ditentukan oleh SPR selepas tamat tempoh berkenaan,” katanya. – UTUSAN










