Jumlah pekerja Malaysia kini 16.51 juta orang, tertinggi dalam sejarah

Jumlah pekerja Malaysia kini 16.51 juta orang, tertinggi dalam sejarah.

Steven Sim Chee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia ketika ini merekodkan jumlah bekerja tertinggi dalam sejarah iaitu seramai 16.51 juta orang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah pekerja itu mustahak bagi merancakkan semula ekonomi negara.

Beliau berkata, dalam reformasi 100 hari Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kementerian telah melaksanakan 80 pembaharuan yang boleh dirangkulkan dalam empat tema utama.

“Ia termasuk gaji pekerja yang lebih wajar, kemahiran pekerja yang lebih tinggi, perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh dan tatakelola yang lebih baik.

“Tahun ini juga, kita akan menyemak semula kadar gaji minimum. Kajian 10 tahun menunjukkan gaji minimum mempunyai kesan positif ke atas mereka yang berpendapatan rendah, dengan peningkatan upah bulanan individu hampir 60 peratus dari 2010-2019.

“Namun, kita sedar bahawa gaji minimum sahaja tidak memadai, terutama mereka yang berpendapatan sederhana ataupun pertengahan.

“Justeru, antara prakarsa kerajaan untuk menambahbaik keadaan upah pekerja Malaysia ialah dengan memperkenalkan dasar gaji progresif bagi memacu pampasan upah yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tema sambutan Hari Pekerja 2024 tahun ini ialah ‘Pekerja Kesemua Bangsa’ iaitu pekerja merupakan golongan mulia yang telah menyumbang darah keringat ke arah pembangunan bangsa.

Sementara itu, Steven berkata, KESUMA juga akan memperuntukkan RM2.56 bilion bagi menyediakan pelbagai latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang.

Katanya, bidang yang menjadi tumpuan termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi 5G, pengkodan komputer, kemahiran dalam ekonomi hijau dan sebagainya.

Dalam pada itu, Steven berkata, projek rintis dasar gaji progresif pekerja swasta yang dilaksanakan bersama Kementerian Ekonomi dijangka akan bermula pada bulan Jun nanti dengan sasaran 1,000 syarikat.

“Kerajaan Madani telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek rintis ini. Dijangka 1.05 juta pekerja Malaysia akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif pada tahun ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN