'Jangan perlekeh syor pelarasan gaji penjawat awam'

‘Jangan perlekeh syor pelarasan gaji penjawat awam’

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha kerajaan menaikkan gaji penjawat awam tidak seharusnya diperlekeh pembangkang terutama dijadikan sebagai modal kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang perlu diberikan pemahaman yang betul mengenai pelarasan gaji itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan kakitangan awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangkang perlu faham bahawa hampir setiap keluarga di Kuala Kubu Bharu mempunyai penjawat awam.

“Jadi kalau dia nak tahu, biar Amir (Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican) bagi kuliah kepada beberapa pemimpin pembangkang tentang ekonomi dan bagaimana kita uruskan.

“Kalau tidak nanti dia bingung, bila dia bingung, dia cerca di khalayak dan orang-orang keliru. Padahal kena ingat kalau pun dia cerca kita di Kuala Kubu Bharu, hampir setiap keluarga ada penjawat awam yang bertugas.

“Kalau tidak anak dia, adik dia, anak saudara dia, menantu dia ada penjawat awam. Jadi jangan perlekeh usaha kita kerana saya tahu sukar dan saya merenung berbulan-bulan, mesyuarat berpuluh kali,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, ketika kempen PRK itu, ada pihak membandingkan pentadbiran kerajaan sekarang dengan kerajaan terdahulu sedangkan semasa pentadbiran mereka, elaun dipotong dan rakyat diminta mengikat perut.

Anwar mahu penjawat awam terus bekerja dengan lebih dedikasi dan pada masa sama komited untuk membanteras isu rasuah.

“Kita lebih tegas dengan saudara (penjawat awam) terhadap yang malas dan rasuah. Selain itu, saya harus bagi ganjaran, pengiktirafan yang lebih kepada penjawat awam, Insya-Allah kita akan lakukan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, ada beberapa pemimpin politik menjadikan isu pelarasan gaji itu sebagai modal kempen di PRK Kuala Kubu Bharu sehingga timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan ini melalui penolakan sokongan di Parlimen.

Sebelum ini, Anwar memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkan pada 1 Mei lalu akan diluluskan di Parlimen dengan bergaya pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, semua parti komponen dalam Kerajaan Madani akan memberi sokongan penuh terhadap kenaikan terbabit supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Disember depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN