SHAH ALAM: Lagi kes tetak dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membabitkan seorang pemilik bengkel yang dituduh menetak seorang lelaki sehingga parah di Puchong, tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, K. Devaidran, 42, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Tamil.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa anak seorang itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap B. Kartigeyen, 39, dengan menetak badan, kaki dan tangan menggunakan parang dekat Kampung Bunga Melur, Batu 14.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam pada 25 Januari tahun lalu dan dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan termasuk melaporkan diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa.
Bagaimanapun, peguam Mohd. Safwan Saleh yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira faktor tanggungan dan tahap kesihatan isteri anak guamnya itu.
“Devaidran yang sudah berkahwin mempunyai seorang anak malah isterinya perlu menjalani proses pemulihan selepas pembedahan pinggang. Selain itu, bengkel kereta miliknya terpaksa ditutup sekali gus menyukarkannya untuk membayar kos jaminan yang tinggi,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan dikemukakan pendakwaan. Sebutan semula kes pada 13 Ogos depan.
Terdahulu di mahkamah sama, seorang jurujual dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengaku salah menetak seorang penunggang motosikal sehingga mengalami cedera parah pada bulan lalu. – UTUSAN










