PETALING JAYA: Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, terdapat ruang untuk mana-mana pihak bertanyakan kepada organisasi media ekoran setiap laporan dibuat mereka, namun bukannya melalui ugutan dan sebarang tindak balas undang-undang.
Katanya, media mempunyai hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoal tindakan mana-mana pihak secara umum.
“Saya betul-betul berharap bahawa kebebasan media difahami sepenuhnya oleh semua pihak dan pengamal media dibenarkan untuk membuat laporan tanpa takut dan memihak.
“Media punya hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoal tindakan mana-mana tokoh umum. Bagaimanapun ada ruang untuk mana-mana pihak bertanyakan tanggungjawab organisasi media dalam laporannya tetapi bukan melalui ugutan dan tindak balas.
“Kerajaan pula tidak sepatutnya menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini. Itu adalah janji kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Malaysia dilaporkan jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding tempat ke-73, tahun lalu.
Laporan disiarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua dalam kalangan negara ASEAN selepas Thailand.
Johan berkata, kejatuhan indeks itu wajar menjadi peringatan bagi semua pihak termasuk pengamal media dan kerajaan.
“Saya sentiasa percaya bahawa memelihara kebebasan media adalah penting untuk sebuah demokrasi seperti kita. Tambahan pula media bebas adalah tunggak demokrasi yang sihat.
“Media memainkan peranan penting untuk tujuan semak dan imbang selain menjadi penyuluh kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa polis mengambil pendekatan berhemah dan penuh waspada dalam mengendalikan kes membabitkan seorang wartawan Bloomberg, Ram Anand ekoran laporan pembinaan sebuah kasino di Forest City, Johor.
Beliau amat memahami sensitiviti kes dan kontroversi akibat daripada laporan berita cadangan kasino itu.
“Semua pihak yang disebutkan dalam laporan itu telah menafikannya. Itu hak mereka untuk berbuat demikian.
“Ram Anand bertanggungjawab penuh ke atas berita itu dan akauntabilitinya adalah pada beliau. Beliau tertakluk pada etika kewartawanan memastikan keadilan dan kejujuran dalam mendapatkan maklumat, melapor dan menulis berita itu. Lebih penting lagi, beliau harus mengambil tanggungjawab penuh ketepatan tulisannya.
“Daripada apa yang saya ketahui, Ram Anand adalah salah seorang daripada tiga orang wartawan yang menmyumbang kepada berita itu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu bahawa Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan mengambil kenyataan daripada wartawan itu dan kes ini akan disiasat atas hasutan, jenayah fitnah dan kesalahan membabitkan talian.-UTUSAN










