Pelajar antarabangsa tidak nafikan hak rakyat Malaysia

Pelajar antarabangsa tidak nafikan hak rakyat Malaysia

ZALIMAN SAULI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah kononnya kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) mengurangkan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan dasar sebenar pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, agenda pengantarabangsaan bukanlah dasar baharu, sebaliknya merupakan salah satu Teras Strategik Kelima Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) yang bertujuan menjadikan Malaysia hab kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Katanya, dasar itu dibangunkan melalui kajian menyeluruh yang mengambil kira amalan terbaik negara maju dan pe­nanda aras daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Bank Dunia.

Beliau berkata, perlu difahami bahawa pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat pelajar tempatan sebaliknya kemasukan mereka diurus melalui mekanisme yang berasingan de­ngan syarat kemasukan ketat.

“Kelulusan mereka adalah tertakluk kepada kelulusan se­nat universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Imigresen Malaysia dan proses saringan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS). Me­lalui mekanisme ini, setiap permohonan pelajar antarabangsa menjalani tapisan akademik, imigresen dan dokumentasi sebelum dibenarkan mengikuti pengajian di Malaysia.

“Keutamaan kemasukan ke universiti awam kekal diberikan kepada pelajar tempatan melalui saluran pengambilan nasional. Secara keseluruhan, peratusan pelajar antarabangsa di universiti awam adalah sekitar 10 peratus atau kurang daripada jumlah enrolmen, sekali gus membuktikan bahawa majoriti besar tempat di universiti awam terus diperuntukkan kepada rakyat Malaysia,” katanya di sini semalam.

Zaliman berkata, penglibatan pelajar antarabangsa antara lain turut memperkayakan penga­laman pembelajaran melalui perkongsian budaya, pemindahan ilmu serta pembentukan jaringan global yang memberi manfaat kepada seluruh warga universiti.

Katanya, kehadiran pelajar antarabangsa turut menyumbang kepada peningkatan kua­liti universiti melalui kolaborasi akademik dan penyelidikan, penerbitan bersama, pemba­ngunan inovasi serta pengukuhan reputasi institusi di peringkat antarabangsa.

“Faktor-faktor ini merupakan antara indikator utama dinilai dalam penarafan dunia seperti Times Higher Education (THE) dan QS World University Ran­kings. Selain aspek akademik, pelajar antarabangsa juga memberikan impak ekonomi yang positif kepada negara,” katanya.

Beliau memberitahu, Malaysia juga menyasarkan kehadiran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030, selaras aspirasi untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi diyakini dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN