PETALING JAYA: Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara memohon semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan status kesihatan Datuk Mutang Tagal.
Menurut kenyataan pejabat itu, sebarang maklumat akan dimaklumkan oleh pihaknya mengikut keadaan semasa.
Kata kenyataan sama, Mutang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Beliau telah menerima rawatan di IJN setibanya semalam di Malaysia daripada Azerbaijan untuk lawatan kerja.
“Keluarga Senator Datuk Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman doa yang diberikan untuk beliau dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam tempoh rawatan ini,” kata kenyataan itu.
Semalam, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara memaklumkan Mutang menerima rawatan perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur, susulan masalah kesihatan dialami ketika berada di Azerbaijan.
Mutang tiba di tanah air dari Azerbaijan pada pukul 1 pagi semalam setelah berada di negara itu untuk lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada jadualnya.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.- UTUSAN









