HULU SELANGOR: Kempen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu tidak terkesan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli.
Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, perjalanan kempennya masih berjalan dengan baik dan penerimaan pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu kepadanya berada di peringkat yang memuaskan.
Sehubungan itu, menurutnya, situasi yang dihadapi oleh Mohd. Shukri tidak langsung menjejaskannya.
“Saya rasa tidak (terjejas), kawasan pun jauh dan di sini lebih kepada (isu) lokal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mohd. Shukri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu disiasat selama sembilan jam di Ibu Pejabat SPRM, baru-baru ini.
Dipercayai beliau disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Perkara ini selepas laporan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis itu bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.
Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.
Malah, media turut melaporkan SPRM akan menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.
Dalam pada itu, Khairul Azhari berkata, beliau yakin kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor akan berjaya ditawan oleh PN.
“Ada harapan untuk kita ambil alih tampuk kepemimpinan DUN Kuala Kubu Baharu.
“Insya-Allah misi 4-0 akan tercapai pada 11 Mei ini,” ujarnya. – UTUSAN










