HULU TERENGGANU: Seorang suri rumah sanggup berulang-alik menunggang motosikal sejauh 80 kilometer (km) untuk menjaga suaminya yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sejak April lalu.
Norrisham Samsuddin, 46, dari Kampung Nibong di sini berkata, dia menjaga suaminya, Mohd. Azmi Yusoh, 50, yang menerima rawatan di HSNZ setelah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.
Ibu empat anak yang menghidap penyakit darah tinggi itu berkata, dia sekeluarga kini kian terhimpit masalah kewangan dan hanya mengharapkan sumbangan ahli keluarga serta orang ramai untuk perbelanjaan harian.
Katanya, dia buntu memikirkan masa depan keluarganya setelah suami yang selama ini menjadi ketua keluarga tidak lagi mampu bekerja selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang Mac lalu.
“Sebelum ini, suami kerja pengawal keselamatan di sekolah, namun disebabkan faktor kesihatan terpaksa berhenti kerja. Mulanya tangan suami bengkak dan sakit sehingga tidak boleh disentuh, lalu dia ajak saya ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemeriksaan.
“Terasa bagai luruh jantung saya setelah dikejutkan suami hidap sakit buah pinggang tahap lima pada 3 Mac lalu. Kesihatannya makin merosot dari hari ke hari sehinggalah dia dimasukkan ke HSNZ pada pertengahan bulan lepas sehingga sekarang.
“Sebelum itu, suami dirawat di HSNZ selama tiga hari, selain perlu jalani prosedur cuci darah di Hospital Setiu tiga kali seminggu. Suami juga ada masalah gout,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, dekat sini, kelmarin.
Menurut Norrisham, dia kini membahagikan masa antara menjaga suami di HSNZ dengan menguruskan rumah memandangkan dua anak berusia 16 dan 10 tahun masih bersekolah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke nombor akaun 1150041000176147 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Norrisham Samsuddin atau hubungi talian 0143278719. – UTUSAN










