Indeks Kebebasan Media: Tangga 107 tak terlalu teruk - Fahmi

Indeks Kebebasan Media: Tangga 107 tak terlalu teruk – Fahmi

FAHMI Fadzil (tengah) ketika melawat reruai sempena Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kedudukan Malaysia yang berada pada tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024 secara puratanya tidak terlalu teruk jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sebelumnya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana jika diteliti secara purata sejak 2017, angka yang telah dicapai untuk laporan terkini yang disediakan oleh pemantau media global, Reporters Without Borders (RSF) itu masih dianggap baik berbanding dahulu.

“Kalau dahulu iaitu pada 2017, Malaysia berada pada tangga ke-144, pada 2018 pula kita di tangga ke-145 manakala 2019 kita berada di tangga ke-123.

“Jadi, kalau kita berada pada tangga ke-107 itu bagi saya adalah satu pencapaian yang masih tidak memuaskan, tetapi masih dikira tidak terlalu teruk kalau dibandingkan dengan 2021 di mana kita berada di tangga ke-119.

“Pada 2022 pula, kita berada di tangga ke-113, jadi, kedudukan sekarang masih lebih baik berbanding ketika zaman pemerintahan (kerajaan) sebelum ini,” katanya selepas melawat reruai Kementerian Komunikasi Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, hari ini.

Kedudukan Malaysia ketika ini jatuh daripada tangga ke-73 kepada tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024 yang menilai situasi media sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Laporan tahunan yang disediakan oleh RSF yang menilai kebebasan media di 180 buah negara itu turut meletakkan Malaysia pada 52.07 mata berbanding 62.83 mata pada tahun lalu dan dalam kalangan negara jiran, Thailand menunjukkan peningkatan iaitu naik ke tangga ke-87 sekaligus menjadikannya negara itu memiliki tahap kebebasan media paling tinggi di rantau Asean ketika ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk, ada beberapa pihak yang sengaja memainkan isu berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan raja, malah, ada beberapa laman web yang telah diambil tindakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana telah menyebarkan berita palsu atau bermain dengan isu 3R ini.

“Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyalahgunaan konsep kebebasan media ini sekiranya apa yang disebarkan itu adalah fitnah atau berita palsu atau (sengaja) bermain dengan isu 3R,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau merupakan Menteri Komunikasi pertama yang bertemu dengan pihak RSF dan kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan siri pertemuan serta perbincangan bagi meneliti cara yang lebih baik untuk menangani berita palsu atau sebaran maklumat tidak benar.

“Mereka (RSF) telah memberi komitmen dan masih tidak terlalu lama untuk kita adakan pertemuan susulan dengan mereka.

“Jadi, saya terima laporan ini dengan hati terbuka banyak yang kita perlu teliti kerana tidak semua sesuai dengan ketimuran atau adab yang kita amalkan di Malaysia.

“Kita ambil mana yang baik dan teliti untuk laksanakan penambahbaikan yang kita ingin lihat di Malaysia sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN