PUTRAJAYA: Banyak isu rakyat boleh diselesaikan jika negara dapat menghentikan kerakusan pihak-pihak yang menggunakan kuasa mereka sama ada pemimpin politik, penjawat awam atau swasta untuk merasuah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, isu rasuah terus membengkak di negara ini sehingga mencecah kerugian puluhan bilion ringgit setahun sedangkan jumlah itu boleh dimanfaatkan kepada rakyat.
“Jadi, rasuah tidak boleh dipandang remeh untuk memerangi. Kita mesti ada kuasa, komited dan keberanian serta undang-undang selain tekad politik yang jelas dan tegas.
“Saya percaya dengan kekuatan ini, kita tidak sanggup berkompromi dengan rasuah dan mengambil sebarang tindakan daripada semua pasukan penguat kuasa terlibat walaupun tonggaknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memastikan negara ini beranjak daripada keterlanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras,” katanya ketika berucap dalam majlis peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini, hari ini.
Anwar menegaskan, pertarungan membanteras rasuah diibaratkan satu pertarungan dahsyat kerana kerajaan dan pasukan penguat kuasa terpaksa menghadapi serangan dan tohmahan dalam usaha itu.
Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang tetap akan mempertahankan dan menghalang sebarang tindakan diambil terutama mereka dalam kalangan berpengaruh dan ada darjat dalam kalangan masyarakat.
“Apabila kita perangi perasuah, perasuah bukan manusia kecil dan kerdil, perasuah itu orang berpengaruh, orang darjat atas, dia akan gunakan sebarang usaha melalui media sosial, jentera kerajaan sedia ada, melalui kuasa dan pengaruh politik untuk halang dan menyerang sama ada tokoh politik atau bidang penguasa.
“Saya percaya, keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan tohmahan, malah keselamatan kerana dalam pertarungan ini, pertarungan yang dahsyat,” katanya
Dalam pada itu, menjelaskan mengenai NACS 2024-2028, Anwar berkata, sebanyak lima strategi digariskan kerajaan melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.
“Bagi aspek pendidikan, anak-anak sekolah mesti dilatih untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa. Di universiti dan dalam kalangan rakyat, mesti ada program pendidikan meluas supaya ada sikap (tolak rasuah).
“Sekarang ini, orang rasuah kerana dia kaya, dia bagi habuan. Kita solat, setiap tahun pergi umrah, tetapi soal nilai antara hak dan batil, amal makruf dan mungkar tidak dapat dibezakan.
“Sebab itu, saya kata, peningkatan ilmu dan kefahaman adalah sangat penting,” jelasnya.
Terdahulu, NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang telah berakhir pada Disember 2023. – UTUSAN










