KUCHING: Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 bertemakan “Etika Teras Kewartawanan Mapan” bermula hari ini disertai kira-kira 1,000 pengamal media.
Penyertaai itu membabitkan dari lebih 11 negara antaranya Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan dan Qatar.
Sambutan dijadual hingga Isnin ini dimulakan dengan Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini yang melibatkan 200 pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.
Program julung kali diadakan itu bakal dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih mengenai dunia media melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.
Program itu juga mempunyai objektif untuk membina keyakinan dan mengasah bakat mahasiswa serta mahasiswi apabila berhadapan dengan masyarakat atau bidang kerja serta menguar-uarkan tentang sambutan Hawana 2024 di setiap negeri yang akan dijelajahi.
Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa akan berlangsung sehingga Oktober depan dengan sasaran peserta dalam kalangan penuntut Pengajian Komunikasi dan Media atau mana-mana kursus berkaitan bidang kewartawanan.
Pada perasmian program itu hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman akan diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman selain sesi dialog dengan Menteri Komunikasi.
Selain itu, Pameran Hawana 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka yang menyediakan 20 reruai pameran pelbagai agensi berhubung perkhidmatan mereka selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan maklumat serta menyertai aktiviti disediakan.- UTUSAN










