SERDANG: Hasil pertanian mencatat peningkatan sebanyak empat peratus hasil kerjasama semua pihak di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan tersebut amat menggembirakan seluruh anggota kementerian dan berharap ia akan semakin meningkat selepas ini.
“Selain kenaikan hasil pertanian, saya juga gembira apabila tidak berlaku kenaikan harga barang khususnya ayam dan sayuran. Hanya ada harga ikan yang kadangkala naik di beberapa tempat.
“Tetapi umumnya harga ayam, sayuran dan telur di pasar-pasar tidak ada harga yang melambung tahun ini. Harga ayam masih sekitar RM9 ke bawah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat dan Sambutan Mesra Aidilfitri 2024 anjuran kementeriannya di sini, hari ini.
Tambah Mohamad, diharapkan tiada apa-apa yang akan berlaku dalam tempoh ini hingga mengakibatkan harga pasaran bahan mentah seperti ayam, sayuran dan telur naik sehingga membebankan pengguna tempatan.
“Saya harap tiada lagi perkara-perkara yang bakal menyebabkan kenaikan harga barang-barang ini meningkat kerana bakal menyusahkan rakyat kita.
“Kita harap tidak berlaku lagi perkara-perkara yang akan menaikan harga makanan secara mendadak kesannya rakyat yang terbeban,” katanya.” – UTUSAN










