PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kebakaran sebuah premis komersial yang mengorbankan lebih 27 mangsa dalam kejadian yang berlaku di Bangkok, Thailand semalam.
Kementerian Luar Negeri berkata, ketika ini, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia yang terbabit.
“Pada peringkat awal ini, kementerian mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat kebakaran itu. Kedutaan akan terus memantau situasi di lokasi secara dekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya 27 mangsa terkorban, manakala 63 individu lagi dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, termasuk 22 mangsa yang kini berada dalam keadaan kritikal.
Siasatan rasmi telah dilancarkan oleh pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular, rakyat Malaysia digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular.
“Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di +66 2 340 5720 atau [email protected],” katanya. – UTUSAN










