PETALING JAYA: Misi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza yang terkandas ketika ini berikutan penutupan Rafah dan sekatan di Karem Shalom akan dihantar melalui Qatar.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari berkata, Ops Ihsan kini sedang dalam perbincangan dengan wakil dari Qatar untuk mengkoordinasi segala bentuk penghantaran bantuan ke Gaza termasuk bantuan-bantuan yang terkandas ketika ini.
“Hasil pertemuan di antara Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Luar) dan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Lolwah Al Khater setuju bantu untuk permudahkan kemasukan barangan dan penghantaran bantuan ke Gaza.
“Namun, penetapan tarikh bagi proses itu berlaku masih dalam perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, misi bantuan kemanusiaan akan terus disalurkan kepada mangsa serangan rejim Zionis di Palestin walaupun berdepan halangan sukar.
Beliau memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini akan terus berusaha menghantar bantuan ke Gaza susulan serangan rejim Zionis yang meningkatkan serangannya di Rafah, selatan Gaza.
“Beberapa NGO Malaysia masih berusaha menghantar barang keperluan ke Gaza walaupun dengan penutupan Rafah dan sekatan di Karem Shalom.
“Selain menghantar barang dari Kaherah, inisiatif yang dijalankan di dalam Gaza adalah seperti Dapur Ihsan di Deir Al Balah yang menyediakan makanan telah dimasak.
“Ketika ini, kadar kemasukan barangan masih perlahan disebabkan sekatan oleh Israel. Petugas-petugas di Rafah pula sedang berpindah ke kawasan baharu selain membantu perpindahan pelarian ke tempat perlindungan lain,” katanya.
Terdahulu, Israel memperluaskan serangannya ke Selatan Gaza sambil melumpuhkan operasi bantuan kemanusiaan di seluruh wilayah Palestin ketika rundingan gencatan senjata berakhir tanpa kesepakatan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan lebih 110,000 rakyat Palestin melarikan diri dari Rafah.
Ia disebabkan Israel sedang mara ke kawasan timur bandar Gaza dalam operasi pertempuran jarak dekat selain melakukan serangan udara.
Sementara itu, Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan oleh pelbagai agensi perlu diteruskan meskipun Zionis dan negara bersekutu menentang perkara itu.
“Kami akan terus berusaha menghantar bekalan kemanusiaan masuk ke Gaza sama ada melalui Rafah atau kapal layar. Semua pihak perlu berusaha sedaya mungkin agar bekalan kemanusiaan masuk. Jika bantuan ini langsung terhenti maka sengsara rakyat di sana.
“Oleh itu, usaha menyalurkan bantuan perlu diteruskan. Setiap NGO tidak patut berhenti daripada menyampaikan bantuan untuk mereka yang sedang berhadapan peperangan,” katanya.- UTUSAN










