Gunung Ruang: FIR Kota Kinabalu dijangka terjejas

Gunung Ruang: FIR Kota Kinabalu dijangka terjejas

GUNUNG Ruang di Kepulauan Sitaro, Sulawesi Utara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu, Sabah dijangka akan terjejas sehingga Ahad ini susulan letusan berketinggi mencapai 20 kilometer yang berlaku di Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia semalam.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, gunung berketinggi 725 meter dari paras laut tersebut meletus semula awal pagi semalam.

“Susulan itu, MET Malaysia mengeluarkan Amaran Cuaca Penerbangan (SIGMET) kepada operator penerbangan berikutan debu gunung berapi tersebut dijangka memasuki ruang udara Malaysia.

“Keadaan tersebut boleh mengganggu operasi penerbangan di dalam Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut beliau lagi, debu gunung berapi yang terbentuk boleh mengakibatkan risiko kepada keselamtan pesawat yang melalui ruang udara di kawasan berhampiran.

“Berdasarkan model trajektori daripada National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), debu gunung berapi ini dijangka akan memasuki ruang udara negara dan memberi kesan signifikan sepanjang tempoh ramalan sehingga 5 Mei,” katanya.

Oleh demikian, Muhammad Helmi berkata, pihaknya bertanggungjawab melaksanakan pemantauan aktiviti pergerakan debu gunung berapi tersebut secara berterusan dan akan mengemas kini maklumat berkenaan dan mengeluarkan Amaran Cuaca Penerbangan, sekiranya perlu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya.

Gunung Ruang mula meletus pada 16 April lalu sehingga memaksa Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, pada letusan tersebut dilapor tidak menjejaskan kualiti udara di seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN