PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju terhadap cadangan memperkukuh kawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP) melalui penggubalan akta.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, penggubalan itu mencakupi perkara-perkara berkaitan pinjaman, pelaburan, penubuhan anak-anak syarikat dan lain-lain perkara bagi tujuan diputuskan di Kementerian Kewangan.
“Kerajaan memandang serius isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan entiti berkepentingan kerajaan yang menyebabkan ketirisan wang awam, salah guna kuasa dan menjejaskan imej negara.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan supaya pelanggaran tatakelola baik yang pernah berlaku ke atas entiti-entiti berkepentingan Kerajaan sebelum ini tidak berulang lagi.
“Susulan daripada perkara ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional yang bersidang pada hari ini telah bersetuju dengan cadangan bagi memperkukuh kawal selia Badan Berkanun Persekutuan melalui penggubalan akta,” kata Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini.
JKKTN diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu-isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Dalam pada itu, mesyuarat JKKTN telah mendengar pembentangan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung isu kematian dalam lokap dan langkah pencegahan yang dicadangkan.
Justeru itu, jawatankuasa bersetuju supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan.
Selain itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia masing-masing serta dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing bagi memastikan isu hak asasi manusia terpelihara selaras dengan prinsip tatakelola baik negara.-UTUSAN










