KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menutup pintu kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, gabungan parti tempatan itu cukup serasi dengan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir Sabah, maka tiada sebab untuk menjalin kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung.
“GRS melihat hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk bekerjasama sebagai tanda keyakinan kedua-dua parti itu terhadap keikhlasan dan kesungguhan GRS sebagai peneraju kerajaan Sabah.
“Namun, sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, GRS amat menghargai sambutan positif serta perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap kerajaan GRS-PH Plus sedia ada.
Maka, jelasnya, GRS akan memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat di samping terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah.
Menurut Joniston, PH Sabah memilih menyokong Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri apabila segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah berkomplot dengan Parti Warisan (Warisan) untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Hajiji pada awal 2022.
Pada masa itu, keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong oleh kebimbangan momentum membangunkan Sabah akan terganggu disebabkan keadaan politik yang tidak stabil akibat cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu akan meneliti sama kemungkinan kerjasama dengan GRS menjelang PRN ke-17 yang bakal diadakan tahun depan.
Selain itu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga turut menyatakan hasrat ingin bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRN Sabah yang akan datang. – UTUSAN










