SHAH ALAM: Kira-kira tiga juga penduduk di sekitar Lembah Klang akan berhadapan gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 pada 5 Jun depan.
Kerja-kerja itu akan menyebabkan gangguan bekalan air selama dua hari berdasarkan pemulihan secara berperingkat bermula pukul 3 pagi 6 Jun dan 3 pagi pada 7 Jun.
Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam maklumannya berkata, kawasan yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
“Air Selangor memaklumkan mengenai pelaksanan kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). Pelaksanaan kerja-kerja itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual sementara bermula pukul 9 pagi, 5 Jun. Kerja-kerja itu dijangka akan siap pada jam 7 malam, 5 Jun.
“Para pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun apabila kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dan seterusnya selepas sistem agihan utama bekalan air distabilkan,” katanya, semalam.
Gangguan tersebut melibatkan kira-kira 660 kawasan perumahan, perindustrian dan institusi pendidikan tinggi seperti di Sungai Buloh, Damansara, Subang, Bangsar, Bukit Bandaraya, Bukit Tunku, Segambut, Batu, Pusat Bandar Kuala Lumpur, Bandar Botanik, Bukit Tinggi, Kapar dan Meru.
Kawasan lain yang dijangka turut terjejas adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus induk Shah Alam, Sungai Buloh dan Puncak Alam, Setapak, Selayang, Rawang, Templer, Jinjang, Kemensah, Ukay Perdana, Bandar Puncak Alam, Ijok, Jeram, Saujana Utama, Tanjong Karang, Permatang, Bukit Malawati dan Bukit Badong.
Ttempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit berbeza bergantung kepada jarak premis pengguna dan tekanan sistem agihan bekalan air.
Sebelum ini kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dilapor sepatutnya berlangsung pada pertengahan bulan ini.
Air Selangor berkata lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas dengan mengutamakan premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.
“Bagi pelanggan komersial , bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas. Bagi tujuan itu, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” kata syarikat itu.– UTUSAN










