Elak lakonkan watak ‘mengundang’, Fahmi Zainal jaga imej - Utusan Malaysia

Elak lakonkan watak ‘mengundang’, Fahmi Zainal jaga imej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kerancakan anak muda mengejar peluang untuk menjadi pelakon, pengacara pentas program Pentas Marhaban TV AlHijrah, Fahmi Zainal, memilih jalan berbeza. 

Hal itu berikutan keputusan pemilik nama sebenar Muhamad Nur Fahmi Zainal, 24, ini menolak tawaran untuk tampil dalam sebuah drama bagi memelihara imej Islam yang sinonim dengannya.

Daripada satu sudut, langkah diambil pengacara muda ini wajar diteladani. Berkongsi perkara itu, Fahmi atau nama pentasnya, Tilmiz Fahmi menerangkan secara jelas asbab dia menolak tawaran itu. 

“Watak yang ditawarkan adalah seorang ustaz juga graduan sebuah pusat pengajian di Mesir yang pulang ke tanah air untuk mengajar al-Quran. 

“Jalan ceritanya mengenai percintaan membabitkan ustaz tersebut yang berebutkan pasangan dengan anak muridnya sendiri. 

“Watak tersebut, pada pandangan saya berpotensi boleh mengundang kecaman, sebaiknya saya tolak dan elak diperkatakan di kemudian hari,” katanya. 

Fahmi berpandangan penting untuk dia menolak karakter berkenaan sebagai langkah memelihara imej Islamik yang dibawakannya daripada tercemar. 

Katanya, tanggungjawab itu tidak boleh dipandang remeh dan prinsip yang dipegangnya harus dipertahankan meskipun membabitkan periuk nasi sebagai penggiat seni. 

“Pernah juga saya merasakan rugi kerana menolak tawaran itu. Iyalah, ini membabitkan punca pendapatan saya sebagai anak seni. 

“Apa pun seeloknya saya elak apa apa perkara yang mendatangkan kontroversi. 

“Kalau pun ada tawaran berlakon yang datang selepas ini, saya tetap akan teliti dan nilai dahulu manfaat watak tersebut kepada masyarakat. Kalau ada unsur dakwah dan tak mengundang kecaman, saya pertimbangkan,” kongsinya lagi. 

KAHWIN MUDA 

Fahmi menamatkan zaman bujangnya baru-baru ini dengan menikahi suri hati pilihan, Nur Husna Nadhirah. 

Keputusan mendirikan rumah tangga diambil selepas setahun mengenal hati budi wanita berusia 24 tahun itu. 

Kata Fahmi, keputusan berkahwin pada usia muda adalah atas kehendak sendiri, selain saranan keluarga yang mahu perkahwinan mereka disegerakan. 

“Dua bulan selepas mengikat tali pertunangan, saya memutuskan untuk terus merisik, meminang dan berkahwin. 

“Lebih baik kahwin cepat, tak elok bercinta terlalu lama untuk elak fitnah dan perkara yang tidak diingini. 

“Dan tentunya sebelum berkahwin, saya dapatkan nasihat mereka yang berjaya membina kebahagiaan dalam berumah tangga. “Contoh seperti bapa mertua saya yang menasihatkan agar segera berkahwin, jaga solat lima waktu secara berjemaah dalam keluarga. Kongsinya mungkin hidup sekarang susah, tetapi jika asas itu dijaga, nescaya kesenangan mengejar kita,” jelasnya.

PERNIAGAAN 

Selain pengacaraan dan bergelar anggota kumpulan qasidah, Al Maqari, Fahmi juga mengintai peluang menjana pendapatan menerusi perniagaan wangian fabrik yang dimulakannya Jumaat lepas. 

Katanya, tumpuan selepas ini adalah untuk mengembangkan perniagaan selain menjadi pengacara dan meneruskan kegiatan bersama Al Maqari secara sambilan. 

“Minat berniaga ini sudah lama bercambah dengan sebelum ini saya aktif menjual kek import dari Sweden. 

“Namun ada satu tempoh, ia terpaksa dihentikan kerana kesibukan menjadi pengacara selain membuat persembahan. 

“Perniagaan mendatangkan pendapatan tetap, dan sudah masanya saya mulakan semula. Mungkin perniagaan ini menjadi punca pendapatan lain untuk menampung keluarga,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN