Dua rakan ditahan bersama 21kg heroin - Utusan Malaysia

Dua rakan ditahan bersama 21kg heroin

MOHD. Yusri Hassan Basri (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Taiping Jumaat lalu pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 21 kilogram (kg) bernilai RM262,275 dalam serbuan di Jalan Medan Simpang dekat Simpang, Taiping Jumaat lalu.

Suspek berusia 41 dan 47 tahun itu diberkas kira-kira pukul 11.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ketika serbuan dibuat, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai makan itu sedang berada dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta kemudian membawa penemuan guni berisi 46 bungkus plastik lutsinar di mana setiap bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin.

“Anggaran berat keseluruhan dadah itu berjumlah 21,037.10 gram. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 20,000 penagih.

“Berdasarkan siasatan, sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Februari lalu. Dadah yang dirampas itu diperoleh dari kawasan utara Perak dan diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, hasil semakan juga mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

“Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, polis Kontinjen Perak telah membuat tangkapan seramai 7,171 orang yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Januari lalu.

Katanya, dalam tempoh itu, lebih 100kg dadah berjaya dirampas membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM4.09 juta.

“Tangkapan dan serbuan ke atas suspek juga membawa kepada sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM4.24 juta,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN