SHAH ALAM: Dadah jenis syabu serta bunga ganja dengan berat keseluruhan berjumlah 82 kilogram bernilai RM5.4 juta dirampas polis dalam pelbagai siri serbuan dan pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Kesemua dadah tersebut ditemukan dalam lima bagasi pada 30 Mac hingga 8 April lalu membabitkan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seorang lagi suspek iaitu wanita berusia 33 tahun sedang dikesan polis selepas dia menyedari bagasinya yang mengandungi 23 bungkusan plastik syabu seberat 24.5 kilogram (kg) dikesan polis bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Katanya, kesemua dadah dan tangkapan dibuat melibatkan tiga kes berasingan yang membabitkan penghantaran dadah ke luar dan dalam negara termasuk di bahagian Malaysia timur.
“Dua daripada tiga kes membabitkan pengedaran syabu ke pasaran tempatan masing-masing seberat 24.5 kg pada 30 Mac dan 12.5 kg pada 5 April lalu. Kes pertama pemilik bagasi bertindak melarikan diri dan tidak menaiki penerbangan.
“Suspek adalah ialah Nurul Syazwani Farhana Dron berusia 33 tahun yang beralamat di Kampung Tudan Lutong di Miri, Sarawak.
“Bagi kes kedua pula, polis menahan seorang wanita bersama bagasi ketika berada di kawasan parkir sebuah pusat beli belah sekitar KLIA. Ujian saringan terhadap suspek didapati negatif dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu bagi kes ketiga, Shazeli memaklumkan tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas polis bantuan MAHB merampas tiga bagasi mengandungi 90 bungkusan plastik bunga ganja seberat 45 kg dipercayai untuk dihantar ke negara di Eropah.
“Rampasan dibuat pada 6 April, sebelum polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 37 tahun itu di Terminal 1, dua hari kemudian.
“Suspek pertama bekerja sebagai juruteknik sementara dua lagi adalah pengawal keselamatan. Ujian saringan pula mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing positif amfetamin dan metamfetamin.
“Suspek pertama dan kedua juga masing-masing mempunyai empat dan enam rekod lampau, sementara suspek ketiga pula tiada,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua suspek dipercayai kali pertama menjadi keldai dadah dan menerima upah tidak kurang daripada RM5,000 selain tiket penerbangan serta penginapan ditanggung.
“Bagaimanapun kesemua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan,” ujarnya. – UTUSAN










